Selasa, 7 Oktober 2008

PUASA 6...SYAWAL

“ Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun ”.

Begitulah besarnya pahala apabila kita melaksanakan puasa di bulan Ramadhan dan ditambah dengan puasa enamhari dibulan Syawal. Amalan sunat ini adalah sebagai penampal atau penutup mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Oleh itu rebutlah peluang ini, selain mendapat pahala puasa setahun, ia juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa Ramadhan.

Ibadat puasa mengandungi fadilat yang amat besar tanpa mengira sama ada ia wajib ataupun sunat. Kenyataan ini, di sandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis Qudsi riwayat Imam Bukhari bermaksud: "Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa. Maka amalan puasa itu untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) Oleh sebab itu Aku sendiri akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa."


Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil daripada sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang riwayat Imam an-Nasai bermaksud: “Berpuasa pada bulan Ramadan seolah-olah berpuasa selama sepuluh bulan dan puasa enam pada bulan syawal seperti berpuasa dua bulan.” Manakala dalam kitab Sabila al-Muhtadin, dinyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari pada bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Dari sudut kesihatan, pada bulan Ramadan sistem pencernaan kita berehat selama sebulan pada siang hari, iaitu tanpa menerima sebarang makanan ataupun minuman. Kedatangan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya, apatah lagi amalan kebanyakan kita yang suka mengadakan ‘Rumah Terbuka’. Oleh itu, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan kita untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani kita sendiri.

Tiada ulasan: