Selasa, 7 Oktober 2008

PUASA 6...SYAWAL

“ Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun ”.

Begitulah besarnya pahala apabila kita melaksanakan puasa di bulan Ramadhan dan ditambah dengan puasa enamhari dibulan Syawal. Amalan sunat ini adalah sebagai penampal atau penutup mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Oleh itu rebutlah peluang ini, selain mendapat pahala puasa setahun, ia juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa Ramadhan.

Ibadat puasa mengandungi fadilat yang amat besar tanpa mengira sama ada ia wajib ataupun sunat. Kenyataan ini, di sandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis Qudsi riwayat Imam Bukhari bermaksud: "Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa. Maka amalan puasa itu untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) Oleh sebab itu Aku sendiri akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa."


Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil daripada sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang riwayat Imam an-Nasai bermaksud: “Berpuasa pada bulan Ramadan seolah-olah berpuasa selama sepuluh bulan dan puasa enam pada bulan syawal seperti berpuasa dua bulan.” Manakala dalam kitab Sabila al-Muhtadin, dinyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari pada bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Dari sudut kesihatan, pada bulan Ramadan sistem pencernaan kita berehat selama sebulan pada siang hari, iaitu tanpa menerima sebarang makanan ataupun minuman. Kedatangan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya, apatah lagi amalan kebanyakan kita yang suka mengadakan ‘Rumah Terbuka’. Oleh itu, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan kita untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani kita sendiri.

Ahad, 21 September 2008

SAMBUTAN HARI RAYA MENURUT ISLAM

Aidilfitri merupakan hari meraikan kejayaan bagi orang-orang yang telah melaksanakan ibadah yang dituntut di bulan Ramadan iaitu ibadah puasa. Mereka berhak bergembira menyambut Aidilfitri. Rasulullah (saw) bersabda: "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan, gembira ketika hari berbuka (Aidilfitri) dan gembira ketika bertemu Tuhanmu ".

Pastinya, cara umat Islam menyambut kegembiraan dan kejayaan ini berbeza dari cara orang-orang bukan Islam menyambut perayaan mereka. Umat Islam ada adab sopan dan peraturan yang perlu dipatuhi sebagaimana kita menjalani hari-hari yang lain. Bagi umat Islam, mereka dianugerahkan oleh Allah dua hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

Jelas di sini, Aidilfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ia juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan.

Dalam kita menyambut 1 Syawal, umat Islam sepatutnya mensyukuri nikmat Allah dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam sambutan Aidilfitri. Kita juga dilarang membazir dalam membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya. Bagaimanapun, kita disuruh memakai pakaian yang paling baru di Hari Raya terutama ketika pergi ke masjid. “Paling baru” tentulah tidak semestinya bermaksud yang baru dibeli setiap tahun. Jika ada yang lama tetapi masih cantik dan sempurna digunakan tentulah sudah memadai.

Dalam menghias rumah dan menyediakan makanan juga, umat Islam dituntut agar tidak berlebih-lebihan, apatah lagi jika ada saudara-saudara kita yang menyambut Hari Raya dalam keadaan serba kekurangan. Firman Allah bermaksud: "Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya". – (Al-Israa': 26-27) Perkara terpenting dalam menghidupkan syiar Aidilfitri ini ialah kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi dan mempereratkan silaturrahim sesama ahli keluarga, sanak saudara, jiran-tetangga dan juga sahabat handai.
Firman Allah bermaksud: "Takutilah Allah Subhanahu wa Taala yang kami memohon kepadaNya dan hubungkanlah silaturrahim.”– (Surah An-Nisa': 1)

Kesimpulan
Sambutlah Syawal dalam keadaan kita seperti di sepanjang Ramadan, tunduk bertakwa dalam suasana beribadat kepada Allah. Hiasilah siang dan malam Aidilfitri dengan tahlil, tahmid dan takbir. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam keberkatan dan perlindungan Allah s.w.t

Selasa, 16 September 2008

SEMPURNAKAH PUASA?

IBADAT puasa yang sedang dilalui kita sekarang akan lebih sempurna apabila kita berhati-hati ketika berkata, menjaga mata dan telinga ketika melihat dan mendengar.Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa selain lapar dan dahaga.”Daripada Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “Lima perkara menghapus pahala puasa ialah berdusta, mengumpat, mengadu, membuat sumpah palsu dan melihat wanita bukan muhrim dengan nafsu syahwat."Daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Puasa ialah benteng dan janganlah berkata perkara keji dan jangan bertekak seperti orang bodoh.“Jika seseorang menentang dan memakimu maka hendaklah kamu berkata:”Sesungguhnya aku sedang berpuasa (ucap dua kali).”Puasa adalah perisai yang menghalang atau memelihara kita daripada melakukan perbuatan maksiat dan mungkar.
Oleh itu, kita perlu memelihara seluruh anggota sama ada lahir dan batin. Mulut dipelihara daripada menyebut perkara haram, seperti mengumpat, memfitnah dan mengata.Manakala telinga dipelihara daripada mendengar perkataan yang dilarang.Setiap yang haram diucapkan, haram pula didengar.Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 42 bermaksud: “Mereka yang suka mendengar perkara dusta adalah mereka yang makan makanan yang haram.”
Sebagai bulan keberkatan, adalah lebih baik bagi orang yang berpuasa mengerjakan amalan baik sebanyak mungkin, seperti bersedekah dan membaca ayat suci al-Quran serta sembahyang sunat pada malam Ramadan.

MAKSUD HADIS

Carilah ilmu kerana perolehannya ialah serupa dengan bertakwa kepada Allah,mencarinya serupa dengan beribadah ,mempelajarinya serupa dengan bertasbih,menyelidikinya serupa dengan berjihad,mengajarnya kepada yang tidak tahu serupa dengan sedekah,memberitahu kepada mereka yang layak ialah beramal soleh.Juga ia adalah kawan kepada yang merasa keseorangan,sahabat semasa kesunyian ,petunjuk kepada agama,penghibur kepada kegembiraan dan kesedihan ,penolong kepada keseorangan ,saudara antara orang yang tidak dikenali dan lampu isyarat di jalan menuju syurga
(Riwayat Muaz bin Jabal)

BUAT DIRI YANG SELALU LUPA

HATI TEMPAT JATUHNYA PANDANGAN ALLAH
JASAD LAHIR TUMPUAN MANUSIA
UTAMAKAN PANDANGAN ALLAH
DARIPADA PANDANGAN MANUSIA

YANG KURIK ITU KENDI
YANG MERAH ITU SAGA
YANG BERSINAR ITU NILAM\
YANG CANTIK ITU BUDI
YANG INDAH ITU BAHASA
YANG BENAR ITU ISLAM

BEKERJALAH UNTUK DUNIAMU
SEOLAH-OLAH KAMU AKAN HIDUP SELAMA-LAMANYA
BEKERJALAH UNTUK AKHIRATMU
SEOLAH-OLAH KAMU AKAN MATI ESOK HARI

Ahad, 14 September 2008

TAZKIRAH RAMADAN

Nuzul Al-Quran
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan 'Nuzul' bererti turun . Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW .
Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan.Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai kitab induk panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan membaca al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).

Khamis, 28 Ogos 2008